Saturday, 30 August 2014

Usaha & Barakah

Assalamualaikum WBT
Salam Ukhwah...

Apa khabar iman kita pada hari ini? Semoga ALLAH Taala meletakkan kita dalam kalangan orang yang senantiasa memelihara iman.

Dalam penghidupan di dunia ini, ada dua perkara yang perlu kita sedar sebagai seorang manusia dan juga sebagai seorang muslim.

Perkara pertama adalah untuk mendapatkan sesuatu kita perlu berusaha. Peraturan ini dikenakan kepada semua manusia yang wujud di dunia ini. Semakin kuat usahanya, semakin banyak dapatannya. Namun hal ini tidak lari daripada qadak dan qadar ALLAH Taala. Namun  begitu, secara amnya, sesiapa yang berusaha dialah yang akan berjaya.


Selalu kita dengar orang akan berkata, tidak kisahlah apa pun natijah(keputusan), yang penting kita dah berusaha dengan baik sebab ALLAH Taala melihat usaha kita. Ya, itu betul. Tapi perlu kita sedari bahawa usaha kita juga mempengaruhi natijah di akhir nanti. Sekadar manakah usaha yang dikata sebagai usaha yang terbaik itu. Usaha yang terbaik itu apabila pada penghujungnya membawa kita dekat untuk bertawakal kepada ALLAH.

Jika kita lihat di dalam sirah para anbiya dan para sahabat, kita akan dapati mereka akan berusaha untuk melakukan sesuatu secara terbaik. Sebagai contoh, ketika peperangan Tabuk, Abu Bakr As-Siddiq memnyumbangkan semua hartanya untuk tujuan persiapan perang dan turut sama menyertai peperangan itu. Bila ditanya apakah yang ditinggalkan untuk keluarga; jawpan yang diberi adalah ALLAH dan Rasul.

Dan jika ambil di dalam konteks kita sebagai pemuda dan pemudi yang menuntut ilmu, apakah persediaan ilmu kita adalah yang terbaik, cukup untuk menyelamatkan kita daripada ujian-ujian dalam kehidupan serta untuk membantu masyarakat?. Andainya, ponteng ke kelas, bermalas-malasan dalam mengulangkaji, maka tepuklah dada sendiri sama ada usaha macam inikah yang dikatakan terbaik untuk kita tunjukkan kepada ALLAH SWT. Apakah natijah yang kita perolehi itu melambangkan kita sebagai umat yang terbaik atau sebagai buih-buih di lautan seperti yang dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah SAW.

Tidak kira muslim atau kafir, andainya mereka berusaha bersungguh-sungguh, bermati-matian nescaya ALLAH akan memberi kejayaan. Namun begitu, walaupun apa jua natijah yang diperoleh seorang muslim, ianya amat berbeza daripada mereka yang kafir. Hal ini kerana ALLAH Taala telah meletakkan perkara kedua dalam kehidupan seorang muslim iaitu BARAKAH/KEBERKATAN.

Usaha yang terbaik untuk ALLAH Taala, nescaya ALLAH akan memberi keberkatan dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh, kita telah berusaha bermati-matian, namun natijah yang kita perolehi kurang memuaskan atau kurang baik daripada apa yang kita jangka, maka di sini perlu kita ingat, natijah yang kita dapat dengan usaha yang keras ada barakahnya yang tersendiri. ALLAH akan memberi keberkatan dalam kehidupan kita melalui pintu-pintu rezeki yang lain.

Sebagai contoh, sekali kita pun setelah kita berusaha dalam peperiksaan, namun masih lagi gagal, malah kena mengulang, maka di sini perlu kita sedar bahawa di dalam keputusan kita yang kita dapat dan peperiksaan ulangan itu masing-masing mempunyai barakahnya yang tersendiri dan ALLAH juga akan membuka pintu-pintu nikmat yang lain untuk kita. Contoh lain, kadang-kadang kita selalu lihat ada orang mempunyai banyak duit, tetapi tidak pernah cukup, ada orang mempunyai banyak anak tetapi semuanya bermasalah. Dan kadang kita melihat ada orang biasa-biasa saja kehidupan dan sentiasa cukup, ada orang anak seorang sahaja tetapi masyaALLAH menjadi insan yang hebat dunia akhirat. Itulah keberkatan. Apa yang pada pandangan manusia seolah-olah biasa, tetapi di sisi ALLAH penuh dengan keberkatan.


Bukan setinggi mana kejayaan kita ada yang menjadi ukuran, tetapi sedalam mana barakah ALLAH Taala dalam kehidupan kita. Usaha yang terbaik, akan membuahkan hasil yang terbaik di sisi ALLAH Taala dan insyaALLAH banyak barakah yang ada di situ.

Sama-samalah kita tingkatan usaha kita dalam bentuk qualiti dan juga quantiti agar dapat dilihat oleh ALLAH Taala dan semoga kita semua mendapat keberkatan daripada-NYA dalam kehidupan kita.

Thursday, 28 August 2014

Hati Yang Terbiar

Assalamualaikum WBT...
Salam Ukhwah...

Apa khabar iman kita pada hari ini? Semoga dalam keadaan baik hendaknya...

Hati adalah anugerah ALLAH SWT yang sangat menakjubkan. Melaluinya manusia boleh berada dalam keadaan tenang, gelisah, terjerumus ke arah kerosakan atau sebaliknya. Malah, amalan dan ibadat kita semuanya bermula dengan niat yang ikhlas dari hati yang suci. 

Keadaan hati kita memainkan peranan penting dalam kehidupan sebagai contoh, hati yang bersih amat mudah menerima ilmu manakala hati yang gelap sukar memahami atau menerima ilmu. Hati ALLAH Taala kurniakan seketul sahaja dan ia perlu dijaga dengan baik agar tidak lalai dari mengingati ALLAH Taala. Bukan senang tetapi tidak mustahil untuk melakukannya.



Setiap kali kita melakukan dosa, maka akan timbul satu titik hitam di hati kita, semakin banyak dosa yang kita lakukan, semakin gelap hati kita yang akhirnya jika dibiar ia akan menjadi keras membatu. pada saat ini, kita akan menjadi tidak tenang, sukar untuk menerima nasihat dan amat mudah bagi kita untuk terjerumus dalam kefasikan. Apa yang kita takut sekali adalah apabila hati kita keras membatu dan gelap gelita, ia sudah tidak lagi mampu merasai atau menerima nur cahaya iman...takut-takut rosak iman kita. Nauzubillahi minzalik.

Hati yang banyak dosa atau gelap akan mudah lalai untuk menginati ALLAH SWT. Malah, apabila seseorang itu mengalami masalah hati, maka akan wujud tanda-tanda yang perlu di ambil perhatian. Jika ada, maka perlu kita renung kembali keadaan hati kita agar dapat di rawat secepat mungkin. Semakin awal hati ini dirawat, semakin mudah untuk ia sembuh. Janganlah membiarkan hati kita mati terus sehingga tidak mampu lagi menerima cahaya hidayah dari ALLAH Taala.


Hati perlu dijaga dengan menjaga:

  1. AKAL daripada berfikir perkara-perkara yang tidak berfaedah
  1. MATA daripada melihat perkara mungkar
  1. TELINGA daripada mendengar perkara mungkar
  1. LIDAH daripada bercakap perkara yang tidak baik
  1. TUBUH BADAN daripada terjerumus ke arah kemaksiatan
Hati yang dibiarkan dalam keadaan senang(comfort zone) akan mudah untuk menjadi lalai. Maka sentiasalah mengingati ALLAH SWT dalam apa jua keadaan sekali pun.




Imam al-Ghazali pernah berkata:

“Carilah hatimu di tiga tempat: 

1) ketika membaca al-Qur'an 
2) ketika solat 
3) ketika mengingat kematian.  

Jika di tiga tempat tersebut engkau belum menemukan hatimu, maka mohonlah kepada Allah untuk memberimu hati, sebab engkau sedang tidak mempunyainya!” 

Semoga ALLAH SWT  menjaga hati kita daripada lalai mengingati-NYA. Andainya kita lalai, maka kita memohon agar diberi peluang untuk terus kembali bertaubat sebelum kita dijemput mengadap-NYA







Wednesday, 27 August 2014

Bagaimana IMAN Kita Hari Ini?

Assalamualaikum WBT...
Salam Ukhwah

Iman adalah asas utama kehidupan kita sebagai seorang muslim. Iman menjadi batu asas penerimaan amalan oleh ALLAH SWT. Tanpa iman perkara yang kita lakukan seharian sekali pun baik hanyalah sia-sia ibarat mengira bulu kambing, tiadalah menguntungkan bahkan meletihkan kita sahaja.

Jadi, apa khabar iman kita pada hari ini? Pernah kita mencuri sedikit masa dari 24 jam yang diperuntukkan kepada kita untuk merenung dan menilai di manakah tahap iman kita? Adakah ia sakit, sihat, semakin bertambah atau semakin kurang? 




Sahabat dan Sahabiah yang dirahmati ALLAH sekalian,

Kita sebagai manusia tidak dapat lari daripada kelemahan iaitu sifat turun naik diri kita sama ada, semangat, perbuatan termasuklah juga iman kita.

"Al-Iman yazid wa yanqus" (Iman bertambah dan berkurang).
Demikian sabda Baginda Nabi Muhammad saw.

Maka itu perlu kita merenung diri kita, apaka kerja-kerja kita pada hari ini menambah iman kita, mendekatkan kita kepada ALLAH SWT, atau kerja-kerja kita pada hari ini telah melemahkan iman kita dan menjauhkan kita daripada ALLAH SWT. TIdak dapat tidak kita perlu sentiasa mengingati dan perlu diingatkan untuk memeriksa iman kita setiap hari.

Iman yang lemah nescaya akan menjerumuskan kita ke arah kelalaian da maksiat sekali gus menjauhkan kita daripada ALLAH. Bukan sekadar itu sahaja, iman yang lemah akan menjadikan kita lemah dari sudut fizikal, mental dan juga akal kita. Andainya dibiarkan berterusan nescaya kita akan menjadi lemah, malas dan tidak bersemangat untuk melakukan kebaikan dan berbakti di jalan ALLAH SWT. Maka perlu di sini untuk kita senantiasa memperbaharui iman kita. 

Salah satu cara untuk memperbaharui iman kita adalah dengan mengucapkan kalimah syahadah sebagaimana sabda Rasullah SAW kepada para sahabat:( seperti di dalam gambar)



Semoga ALLAH menjadikan iman kita sempurna dan mematikan kita ketika iman kita berada pada tahap yang paling tinggi...