Salam Ukhwah...
Apa khabar iman kita pada hari ini? Semoga ALLAH Taala meletakkan kita dalam kalangan orang yang senantiasa memelihara iman.
Dalam penghidupan di dunia ini, ada dua perkara yang perlu kita sedar sebagai seorang manusia dan juga sebagai seorang muslim.
Perkara pertama adalah untuk mendapatkan sesuatu kita perlu berusaha. Peraturan ini dikenakan kepada semua manusia yang wujud di dunia ini. Semakin kuat usahanya, semakin banyak dapatannya. Namun hal ini tidak lari daripada qadak dan qadar ALLAH Taala. Namun begitu, secara amnya, sesiapa yang berusaha dialah yang akan berjaya.
Jika kita lihat di dalam sirah para anbiya dan para sahabat, kita akan dapati mereka akan berusaha untuk melakukan sesuatu secara terbaik. Sebagai contoh, ketika peperangan Tabuk, Abu Bakr As-Siddiq memnyumbangkan semua hartanya untuk tujuan persiapan perang dan turut sama menyertai peperangan itu. Bila ditanya apakah yang ditinggalkan untuk keluarga; jawpan yang diberi adalah ALLAH dan Rasul.
Dan jika ambil di dalam konteks kita sebagai pemuda dan pemudi yang menuntut ilmu, apakah persediaan ilmu kita adalah yang terbaik, cukup untuk menyelamatkan kita daripada ujian-ujian dalam kehidupan serta untuk membantu masyarakat?. Andainya, ponteng ke kelas, bermalas-malasan dalam mengulangkaji, maka tepuklah dada sendiri sama ada usaha macam inikah yang dikatakan terbaik untuk kita tunjukkan kepada ALLAH SWT. Apakah natijah yang kita perolehi itu melambangkan kita sebagai umat yang terbaik atau sebagai buih-buih di lautan seperti yang dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah SAW.
Tidak kira muslim atau kafir, andainya mereka berusaha bersungguh-sungguh, bermati-matian nescaya ALLAH akan memberi kejayaan. Namun begitu, walaupun apa jua natijah yang diperoleh seorang muslim, ianya amat berbeza daripada mereka yang kafir. Hal ini kerana ALLAH Taala telah meletakkan perkara kedua dalam kehidupan seorang muslim iaitu BARAKAH/KEBERKATAN.
Usaha yang terbaik untuk ALLAH Taala, nescaya ALLAH akan memberi keberkatan dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh, kita telah berusaha bermati-matian, namun natijah yang kita perolehi kurang memuaskan atau kurang baik daripada apa yang kita jangka, maka di sini perlu kita ingat, natijah yang kita dapat dengan usaha yang keras ada barakahnya yang tersendiri. ALLAH akan memberi keberkatan dalam kehidupan kita melalui pintu-pintu rezeki yang lain.
Sebagai contoh, sekali kita pun setelah kita berusaha dalam peperiksaan, namun masih lagi gagal, malah kena mengulang, maka di sini perlu kita sedar bahawa di dalam keputusan kita yang kita dapat dan peperiksaan ulangan itu masing-masing mempunyai barakahnya yang tersendiri dan ALLAH juga akan membuka pintu-pintu nikmat yang lain untuk kita. Contoh lain, kadang-kadang kita selalu lihat ada orang mempunyai banyak duit, tetapi tidak pernah cukup, ada orang mempunyai banyak anak tetapi semuanya bermasalah. Dan kadang kita melihat ada orang biasa-biasa saja kehidupan dan sentiasa cukup, ada orang anak seorang sahaja tetapi masyaALLAH menjadi insan yang hebat dunia akhirat. Itulah keberkatan. Apa yang pada pandangan manusia seolah-olah biasa, tetapi di sisi ALLAH penuh dengan keberkatan.
Bukan setinggi mana kejayaan kita ada yang menjadi ukuran, tetapi sedalam mana barakah ALLAH Taala dalam kehidupan kita. Usaha yang terbaik, akan membuahkan hasil yang terbaik di sisi ALLAH Taala dan insyaALLAH banyak barakah yang ada di situ.
Sama-samalah kita tingkatan usaha kita dalam bentuk qualiti dan juga quantiti agar dapat dilihat oleh ALLAH Taala dan semoga kita semua mendapat keberkatan daripada-NYA dalam kehidupan kita.

.jpg)
No comments:
Post a Comment