Monday, 13 October 2014

Hanya DIA yang MEMAHAMI, Hanya DIA yang sentiasa MENGERTI

Assalamualaikum WBT
Salam Ukhwah...

Apa khabar iman kita pada hari ini? Adakah bertambah atau berkurang iman kita pada hari ini? Semoga ALLAH menetapkan iman kita dan menjadikan terus memantapkan iman kita kepada NYA.

Dalam kehidupan kita kadang-kadang kita diuji dengan ujian yang datang dalam pelbagai bentuk. Kadang-kadang tiada putus ujian, satu demi satu, terasa hidup seolah-olah ditakdirkan bernasib malang.

Hendak berbuat baik, dikata menunjuk. Pelbagai kebaikan dibuat tiada dihargai. Cuba untuk bermesra responnya kaku sahaja. Kalau tersilap sikit, bukannya ditegur bahkan dicaci dan dimaki lagi. Terasa diri ini seperti asing dalam dunia yang tiada seorang pun benar-benar memahami kita.



Kadang-kadang harapkan ibubapa, ibubapa juga mengecewakan. Kadang-kadang harapkan keluarga, keluarga pula menghampakan. Kadang-kadang mengharapkan kawan, tapi kawan pula pergi meninggalkan. Diri ini seolah-olah asing berseorangan menghadapi saat-saat getir ujian Ilahi. Bukanlah ibubapa,keluarga dan rakan itu jahat, tetapi terpaksa kita telan kenyataan yang pahit bahawa mereka juga insan yang lemah, tidak lari dari kesilapan, tidak lari dari mengecewakan.

 Adakala terdetik di dalam hati kita untuk berputus asa dengan kehidupan. Yalah, terasa hidup di dunia seperti tidak bertuhan, andainya TUHAN itu ada kenapa DIA tidak menolong aku??? Lemahnya kita, makhluk bergelar insan.

Namun sebagai mukmin, saat tatkala semua insan sekeliling kita mengecewakan kita, ketahuilah ALLAH itu ada dan dekat dengan kita. ALLAH yang menciptakan kita dan DIAlah paling memahami kita. Ujian yang diberikan kepada perlu kita terima dengan positif. Ingat ALLAH bukannya kejam, setiap yang diuji, setiap yang diberi pasti akan ada timpal balasnya. ALLAH sentiasa memahami kita, DIA sentiasa mengerti keadaan kita. DIA sayangkan kita dan ingin mendengar rintihan kita kepadaNYA. Insan akan lebih ikhlas berdoa kepada tuhannya tatkala dia berada dalam kesempitan dan kesusahan.





Sekali-kali tidak akan ALLAH menganiayai kita. Ujian yang diberikan itu sudah diukur dengan kemampuan kita untuk mengharunginya. Mendekati diri kita dengan ALLAH akan menjadikan kuat dan tabah kerana kita percaya pertolongan ALLAH itu dekat, andainya bukan di dunia ini, insyaALLAH di akhirat kelak. 

Saat kita rebah melutut, ambillah Quran, lihatlah janji-janji ALLAH kepada mereka yang bersabar. Bukankah janji-janji ALLAH itu pasti? Yakinkah kita dengan ALLAH?. Maka bangunlah menghadapi ujian dengan ketabahan dan kegigihan serta doa.

ALLAH itu ada, ALLAH itu wujud. Ketika dugaan hebat, DIA tetap ada, ketika senang pun DIA tetap ada. DIA melihat, mendengar semuanya. Maka saat-saat sukar kita, hampirkanlah diri kepada ALLAH kerana DIA, ALLAH suka mendengar rintihan hamba-hambaNYA yang ikhlas memohon pertolonganNYA.



Apabila jelas bahawa dalam dunia tiada yang lebih penting melainkan ALLAH, maka tiada kita kisah dengan manusia sekeliling kita. TIada dapat mereka memudharatkan kita, tiada mereka bermanfaat kepada kita tanpa izin Pemilik kerajaan langit. Setidaknya, mental dan rohani kita berasa tenang dengan mengingati ALLAH, tiada stress, tiada tekanan...hidup di dunia ini terasa sekejap sahaja.

Semoga kita menjadi hamba ALLAH yang yakin akan janji-janji ALLAH dan tetap bersabar, teguh dan bertawakal menghadapi ujian sama ada dalam bentuk kesusahan mahu pun kesenangan. Hampirkanlah diri kepada ALLAH, semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang dekat dengan NYA

No comments:

Post a Comment