Friday, 24 October 2014

HIJRAH: Perancangan, Pengorbanan dan Transformasi yang BERTERUSAN

Assalamualaikum WBT
Salam Ukhwah...

Apa khabar iman kita pada hari ini? Adakah bertambah atau berkurang iman kita pada hari ini? Semoga ALLAH menetapkan iman kita dan menjadikan terus memantapkan iman kita kepada NYA.



Salam MAAL HIJRAH 1436.

Sekarang ini amat jarang kita melihat orang berhijrah ke tempat lain untuk kehidupan yang lebih baik. Namun konsep hijrah itu telah dikembangkan lagi dewasa ini kepada penghijrahan diri, jiwa dan peribadi kita kepada yang lebih baik. Pada hari ini, ramai yang mengingati dan meraikan peristiwa hijrah, malah peristiwa agung itu berulang kali diceritakan tapi sayang seribu kali sayang, masih ramai yang tidak dapat menangkap mahupun menerapkan penghayatan dan pengajaran daripada peristiwa agung itu dalam kehidupan mereka. Hijrah sentiasa mengajak ke arah kebaikan terutamanya kebaikan hati, jiwa dalaman di samping mencegah kemungkaran, maka ketika itu perubahan luaran juga akan turut serta. Semuanya bermula daripada diri kita sendiri. 



Daripada peristiwa hijrah itu dapat kita simpulkan 3 perkara iaitu:

1)      Setiap sesuatu memerlukan PERANCANGAN untuk berubah dan PERSEDIAAN yang teliti.

Jika kita lihat kepada sirah, penghijrahan Rasulullah SAW dan Abu Bakr RA begitu terrancang. Bermula daripada sebelum hijrah, beberapa hari sebelum hijrah, ketika hijrah sehinggalah selamat sampai ke madinah. Semuanya dirancang dengan baik. Persediaan dari segi kenderaan, bekalan makanan dan juru pandu semuanya dirancang dengan baik. Kalau bukan dirancang dengan baik, nescaya gagal penghijrahan ini.

Maka sebagai seorang muslim, merancang kehidupan kita adalah satu kewajipan. Kita perlu meletakkan target-target yang mahu kita capai sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, pembangunan saksiah diri mahupun sumbangan kepada ummah. Hidup insan amatlah singkat tetapi bukan jumlah yang menjadi ukuran, qualiti masa yang kita gunakan dengan baik itu yang dilihat oleh ALLAH. Boleh jadi hidup kita sekadar 50 tahun sahaja tapi kita berjaya menjadi insan yang bermanfaat kepada agama dan masyarakat dan boleh jadi umur kita 100 tahun tapi sayang ianya penuh dengan perkara-perkara yang tiada faedah dan lagha kerana kegagalan untuk merancang kehidupan.

Dalam keadaan masa yang terasa bagaikan sesaat ini, perancangan kehidupan amatlah penting untuk kita menjadi muslim yang efektif, tiada masa yang terbuang sia-sia tanpa dimanfaatkan dengan betul. Pembangunan diri perlu dirancang dengan baik, kerjaya juga perlu dirancang, kewangan, rumah tangga dan lain-lain juga perlu dirancang dengan baik. Apabila jelas perancangan kita, lengkap persediaan kita, maka bertawakallah kepada ALLAH kerana sebagai muslim kita percaya bahawa kita merancang dan ALLAH juga merancang, maka sudah tentulah rancangan dan ketentuan ALLAH yang paling terbaik untuk kita.



2)      Untuk mendapat sesuatu yang baik, PENGORBANAN yang besar perlu dilakukan demi Islam.

Semasa perintah hijrah dikeluarkan, kita lihat sahabat-sahabat Rasulullah SAW berhijrah tanpa memikirkan pun harta-harta mereka, keluarga mereka, kemewahan yang ada di Mekah, semuanya ditinggalkan bagi menuruti arahan ALLAH dan RasulNYA untuk mencapai sesuatu yang lebih baik. Cuba bayangkan, kesenangan yang diusahakan selama ini ditinggalkan untuk sesuatu yang tidak jelas keadaannya…hanya berbekalkan keimanan kepada ALLAH dan Rasul sahaja.

Dalam kehidupan kita juga begitu, hendak berbuat baik, hendak berubah sangatlah susah dan memerlukan perngorbanan dan kesabaran yang tinggi. Contoh yang paling mudah yang acap kali berlaku, apabila sahabat kita cuba untuk berubah ke arah kebaikan, kita sering kali mengungkit kisah silamnya dengan pelbagai ejekan. Anggaplah ia sebagai ujian ALLAH kepada kita untuk menguji dan memantapkan iman kita. Kadang-kadang hendak berubah melakukan kebaikan, pelbagai kesempitan datang menimpa. Kebaikan itu sebenarnya bagus tetapi jalan yng perlu dilalui penuh dengan onak dan duri. Untuk mengajak orang dekat kepada ALLAH kita terpaksa meninggalkan kemewahan kita, anak bini kita serta keluar berada dalam kesusahan semuanya agar insan lain dekat kepada ALLAH.
Contohnya, kita dihantar berdakwah dan berkhidmat di Sabah meninggalkan isteri, anak dan rumah yang selesa untuk berada dalam hutan entah apa yang ada hanya tuhan saja yang tahu tapi pengorbanan ini demi ummah agar islam berkembang pesat. Ini baru dalam konteks berkhidmat kepada masyarakat. Kalau berkaitan pembangunan diri pula, demi meningkatkan iman,menjadi baik kerana ALLAH, kita terpaksa tinggal katil yang empuk dan mimpi yang indah untuk berqiyamullail, berwudhuk dan berdiri dalam kedinginan dan kegelapan malam dan macam-macam lagi. Semuanya adalah pengorbanan yang perlu demi mendapat sesuatu yang lebih baik. Bak kata orang puteh: NO PAIN NO GAIN



3)      Penghijrahan diri PERLULAH SECARA BERTERUSAN ke arah kebaikan sekali pun perlahan atau sedikit.

Setelah Nabi SAW dan para sahabat berhijrah, Islam menjadi semakin berkembang pesat bahkan hebat sehinggakan menguasai 2/3 dunia. Sekali pun ketika di madinah mereka susah tapi mereka berjaya, mereka berusaha sendiri dan tiada mereka berundur kembali ke zaman jahiliyah dalam proses penghijrahan itu sekali pun ada di antara mereka yang sehelai sepinggan. Semuanya adalah hasil didikan Rasulullah dalam membentuk peribadi dan iman yang jitu dalam diri mereka.

Sebagai individu Islam, menjadi kewajipan kepada kita untuk cemerlang dari segi ilmu, akhlak dan khidmat kepada masyarakat dan ummah.  Menuntut ilmu adalah sepanjang hayat, sebagai muslim andainya kita mampu maka berusaha ke tahap yang tertinggi. Pastikan juga pembentukan peribadi rohani dan akhlak seiring dengan taraf ilmu kita. Dan setelah ada serba sedikit, sumbanglah dan manfaatkan diri kita kepada masyarakat.



Andainya salah satu tidak lengkap, kurangnya kualiti kita sebagai muslim. Ilmu tinggi tahap PhD tapi bangun matahari terpacak tinggi, harta membukit tinggi sumbangan tiada diberi kepada masyarakat. Ingat, muslim yang paling baik adalah dia ajak kepada dan bercakap tentang kebaikan, mencegah mungkar dan dia buktikan dengan amalan.

Berhijrah secara perlahan dan istiqomahlah. Biar sekali pun perubahan baik itu kecil seperti senyum kepada kawan-kawan kita, kita teruskan dan perlahan-lahan kita tambah sedikit-demi sedikit. Muslim yang hebat tidak dilahirkan dalam tempoh semalam tetapi adalah hasil daripada tarbiyah dan didikan hati, rohani dan jasmani yang panjang dan berkekalan Jangan kita sekejap baik, sekejap buruk. Memang iman manusia itu turun dan naik tetapi berusahalah untuk mencegah yang mungkar selagi mampu dan andainya terlanjur, kembalilah kepada ALLAH dengan segera. Apabila kita berhijrah, ingatlah, kita bukan berhijrah untuk mencari makan, sebab lembu pun makan, tetapi hijrah kita ini agar kita lebih bersedia dan rela untuk bekerja untuk Islam. Dengan erti kata lain, kita berhijrah mengubah diri kita ke arah yang lebih  baik agar kita sentiasa bersedia untuk bekerja demi Islam.

Jadi, secara kesimpulannya, apakah kita masih belum tergerak untuk berhijrah kea rah kebaikan? Menyiapkan diri kita untuk berkhidmat kepada masyarakat dan Islam? 



Bukan mudah, bukan sekejap tetapi ianya tiada mustahil. Perlu kita berbangga dengan Islam kerana Islam menyediakan segala-galanya sebagai medium untuk umatnya bersedia menyumbang kembali kepadanya. Kita perlu ada kesedaran bahawa sekarang bukan lagi zaman untuk kita rileks, seronok-seronok, sekarang kita perlu bersedia dan kita perlu lakukannya dengan pantas. Cukuplah kita meminta untuk dilayan, sudah tiba masanya untuk kita melayan...

Semoga ALLAH memudahkan jalan kita untuk menjadi muslim yang baik. Biarlah kita tetap ke arah kebaikan sekalipun seringkali dilanda ujian dan mehnah yang tiada henti. Percayalah, apabila terdetik dalam hati kita untuk berubah menjadi baik, ingatlah ketika itu ALLAH berkehendak agar kita kembali kepadaNYA.




~IntiPati diolah  daripada Ceramah Maal HIjrah 1436H~

No comments:

Post a Comment