Assalamualaikum WBT
Salam Ukhwah...
Apa khabar iman kita pada hari ini? Adakah bertambah atau berkurang iman kita pada hari ini? Semoga ALLAH menetapkan iman kita dan menjadikan terus memantapkan iman kita kepada NYA.
Kehidupan manusia ini adalah satu perjalanan menuju ke
tempat yang sama, tujuan yang sama. Cuma jalan yang dilalui oleh setiap orang
adalah berbeza. Kadang-kadang pelbagai mehnah dan ujian kehidupan datang
melanda, sama ada daripada orang sekeliling kita, daripada tugas kita, daripada
pelajaran kita bahkan daripada takdir kehidupan kita yang penuh misteri dan
tiada yang lebih mengetahui melainkan Allah Yang Maha Mengetahui. Jiwa kita
terasa kacau terganggu kerana kurang kekuatan, hendak menyalahkan takdir, risau
terbatalnya iman, hendak berputus asa kehidupan tetap perlu diteruskan. Serba
salah diri kita hendak menghadapi kehidupan ini.

Maka di sini datangnya erti SYUKUR. Kita adalah hamba
yang diciptakan oleh ALLAH untuk beribadah kepadaNYA. Maka sudah menjadi
lumrah, hamba tiada memiliki apa satu pun, hidupnya layak diuji, apa yang ada
padanya layak diambil kembali oleh tuannya. Maka dalam konteks kita, ALLAH
adalah tuan kita buat selama-lamanya. Apa yang ada pada kita hanyalah pinjaman
semata-mata. Dia boleh mengambil kembali semua itu tanpa syarat mahupun notis
awal. Apa yang berlaku dalam kehidupan juga adalah takdir dan peracangan yang
telah ditentukan olehNYA. Boleh jadi DIA membiarkan kita terus terkapai-kapai
dalam ujian kesusahan hidup, boleh jadi DIA membantu kita keluar dari ujian
itu. Disebabkan ALLAH, semuanya mampu, semuanya boleh tanpa sebarang batasan.
Maka kita sebagai hamba perlu sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada
ALLAH tatkala senang mahupun susah, kerana kita sebagai muslim yakin bahawa
ALLAH tidak akan sesekali menganiayai hambanya.

Bersyukur ini adalah satu konsep yang luas, dan antara
perkara yang sering kita lupakan dalam perjalanan hidup kita. Kita hanya
bersyukur, mengucap Alhamdulillah tatkala senang tetapi apabila sedikit saja
kesenangan kita diambil ALLAH kembali, kita sudah gelabah, pening meracau-racau
seperti hidup ini sudah sampai kepenghujungnya,gelap terasa dunia ini. Sesekali
tidak, sebagai muslim syukur itu perlu sentiasa sebati dalam hati kita.
Bukankah ALLAH pernah berfirman, bersyukurlah kepadaKU nescaya akanKU tambahkan
lagi bagi kamu, Bukan KAMI meminta daripada kamu bahkan KAMIlah yang memberi
rezeki kepada kamu. Rezeki dan Nikmat adalah sesuatu yang misteri,yang tidak
dapat nak dijelaskan oleh akal. Ada orang rumah besar, harta banyak tetapi
tiada kebahagian, ada orang sakit tiada henti tapi masih tersenyum. Tertanya-tanya
kita apakah maknanya semua ini? Tiada lain itulah tanda-tanda kebesaran ALLAH
dalam mengagihkan nikmat dan rezeki kepada hamba-hambaNYA.
Sebenarnya banyak cara untuk kita mengaplikasikan rasa
syukur dalam diri kita. Antaranya adalah apabila berada di atas, tunduklah ke
bawah, dan apabila berada di hadapan tolehlah ke belakang. Dengan erti kata
lain, andainya kita ada sesuatu, lihat kepada orang yang tiada memiliki dan
sentiasa berharap agar ALLAH memberikan nikmat yang ada pada kita kepadanya juga.
Contoh, apabila kita ada makanan yang mampu kita beli, sekali pun murah,
lihatlah kepada fakir miskin yang terpaksa meminta dan berlapar. Kita ada
pakaian berkasut lengkap bertukar-tukar setiap hari, lihatlah kepada mereka
yang sehelai sepinggang. Dengan cara ini, kita mengetuk pintu hati kita sendiri
untuk bersyukur kepada ALLAH dengan nikmat yang kita ada. Tetapi perlu kita
ingat syukur kita ini perlu juga disertai dengan usaha untuk membaiki diri kita
agar lebih maju dunia mahupun akhirat.

Jika kita ambil masa sejenak, cuba renungkan, kenapa
ALLAH jadikan aku begini? Kenapa aku dan bukan orang lain? Kenapa aku secara
spesifiknya? Dan cuba kita lihat kenapa ada manusia yang turut berada dalam
keadaan nikmat dan ujian yang sama dengan kita tetapi mereka mampu untuk
tersenyum, bersyukur dan bergembira dengan takdir ALLAH? Sudah pasti ada
hikmahnya ALLAH menjadikan sesuatu kepada kita. Mungkin kita tidak dapat
melihat hikmah itu pada awalnya, namun insyaALLAH kita akan ketahui juga
apabila tiba masanya nanti.
Renungan kita perlulah melibatkan akal fikiran kita, cuba
bayangkan keadaan diri kita tatkala memiliki sesuatu nikmat dan tatkala tidak
memilikinya. Contoh, bayangkan diri kita memiliki harta yang banyak sehingga
bermewah-mewahan dan bayangkan pula tatkala diri kita hanyalah dalam keadaan
sederhana, cukup makanlah senang kata. Apakah reaksi kita ketika itu? Adakah
kita akan bertambah iman atau sebaliknya? Sudah menjadi lumrah manusia untuk
menyukai kesenangan dan membenci kesusahan, kepayahan. Namun perlu kita ingat
bahawa ALLAH Maha Mengetahui, boleh jadi benda yang kita suka dan harapkan itu
memudharatkan kepada iman, rohani atau jasmani kita dan boleh jadi
perkara-perkara yang kita cuba jauhi, yang kita sesali, yang kita tidak suka
itu sangat-sangat bermanfaat kepada kita. Amat sikit ilmu yang ada pada kita
jika nak dibandingkan dengan pengetahuan ALLAH. Ambillah iktibar daripada kisah
Qarun, tatkala susah seorang yang baik, sesudah kaya kufur kepada Tuhannya.
Berhati-hati dengan permintaan kita kepada ALLAH, timbang baik dulu adakah itu
keperluan atau kehendak. Allah sahaja yang mengetahui isi hati kita.

Apabila kurang rasa syukur, kita akan mudah berputus asa,
terasa kehidupan dan takdir tidak adil kepada kita, terasa kecewa apabila doa tiada tertunai
seolah-olah ALLAH tidak mendengar
permintaan kita. Jangan sesekali begitu, ALLAH mendengar cuma DIA menahan
nikmat itu mungkin untuk memelihara iman kita, menyelamatkan kita daripada
kekufuran. Tidak salah dalam kehidupan
mengejar cita-cita, untuk sentiasa mendongak ke atas, untuk sentiasa memandang
ke hadapan, tetapi ambillah masa sejenak untuk tunduk ke bawah, toleh
kebelakang agar kit bersyukur, dengan apa yang ada pada kita, agar kita lebih
menghargai kehidupan kita. Sifat orang mukmin itu unik, tatkala senang dia
bersyukur, tatkala dia susah dia bersyukur dan bersabar. Tidakkah kita mahu
menjadi mukmin yang kuat?
Kesimpulannya, bersyukur itu akan mendekatkan kita kepada
ALLAH dan mengingatkan kita bahawa ALLAH itu adil. Setiap perancangan dan
takdir ALLAH ada hikmah ada kebaikan yang tersurat dan tersirat untuk kita.
Percaya dan yakinlah ALLAH tidak akan mensia-siakan hambaNYA. Percayalah, jika
ALLAH bawa kita kepada ujian itu, DIa akan mengeluarkan kita dari ujian itu.
Kita sebagai hamba, perlu bersyukur, berusaha kerana ALLAH melihat apa yang
kita lakukan. Berputus asa tidak sepatutnya wujud dalam kehidupan kita sebgai
muslim. Kita kuat, kita tabah, kita hebat kerana kita ada ALLAH, Pemilik
langit, bumi dan apa sahaja di antara keduanya.
Jangan lupa senyum...muka yang sentiasa tersenyum sentiasa nampak manis dan menyeronokkan.
Semoga ALLAH menjadikan kita hamba yang sentiasa
bersyukur terhadap semua takdir dan ujianNYA. Semoga selepas setiap nikmat
mahupun ujian iman kita semakin bertambah, semakin dekat kita kepada ALLAH. Ya
ALLAH, jadikan kami daripada kalangan yang menghargai nikmat-nikmat dengan
bersyukur kepadaMU, dan lindungi kami daripada meminta-minta kepadaMU sesuatu
yang tiada kami ketahui. Lindungilah iman kami dan kuatkanlah kesabaran kami.