Assalamualaikum WBT...
Salam Ukhwah...
Apa khabar iman kita pada hari ini? Semoga dalam keadaan baik hendaknya...Sama-samalah kita pertingkatkan iman kita agar lebih dekat diri kita dengan ALLAH Taala.
Berat sangatkah ujian kita? Hebat sangatkah kekayaan
kita? Tampan atau cantik sangatkah kita? Tidakkah kita melihat disebalik setiap
sesuatu itu ada ujian yang dinilai oleh ALLAH terhadap diri kita? Apabila
ditimpa ujian, kita merintih bagai hidup ini ditakdirkan papakedana, sengsara
seolah-olah tiada tuhan untuk mengadu. Dan apabila kita senang, kita menjadi
bongkak, terasa semuanya milik kita, mampu kita miliki tanpa kita sedar bahawa
semuanya adalah pinjaman semata-mata daripada Pemilik segala-galaNYA.
Bayangkan kita sentiasa merintih, hidup ini selalu susah,
ujian ini terlalu berat untuk kita. Kita berasa kecewa dengan ALLAH lalu
memilih untuk mengingkari ALLAH Taala daripada terus bersabar. Siapakah kita
ini? Kita hanyalah hamba yang sememangnya layak diuji. Apakah ujian kita ini
terlalu besar, terlalu berat jika nak dibandingkan dengan Nabi Ayub AS, hamba
ALLAH yang dahsyat ujiannya? Nabi Ayub diuji dengan pelbagai kesusahan. Baginda
ditakdirkan terkena penyakit sehingga luruh daging daripada tulang. Semua harta
baginda musnah, semua anak-anaknya mati. Dan di saat ujian menggenting, isteri
baginda pergi meninggalkan baginda kerana tidak tahan dengan kesusahan dan
kesempitan hidup. Bertahun lamanya baginda melalui ujian ini. Apakah baginda
berputus asa? Apakah baginda sentiasa mengeluh?
Sesekali tidak, bahkan baginda
menjadi semakin kuat mengingati ALLAH dan dekat kepadaNYA sehinggakan ALLAH
mengembalikan semuanya kepada baginda. Jadi, adakah ujian kita ini terlalu
berat sehingga kita mahu berputus asa? Bukankah ALLAH pernah berfirman bahawa
ALLAH tidak akan sesekali membebani seseorang luar daripada kemampuan dirinya?
Maka, tatkala ujian kita terasa berat, ambillah kesempatan ini untuk
mendekatkan diri kita kepada ALLAH.
Dan tatkala kita terlalu bergembira dengan nikmat ALLAH,
jangan sampai kita alpa untuk meningkatkan iman kita kepada ALLAH. Kuasa,
harta, kemewahan dan kecantikan itu semua adalah ujian ALLAH, untuk melihat
sama ada kita ini terdiri kalangan yang bersyukur atau tidak. Jika kita lihat
di sekeliling kita, ramai yang tersungkur apabila diberi nikmat kuasa, harta,
kemewahan dan kecantikan. Apakah kita tidak mampu mengambil pengajaran daripada
kisah Nabi Sulaiman AS, raja yang mempunyai kerajaan yang tidak pernah ada
tandingan sesudahnya dan Nabi Yusuf AS, pemerintah yang diberi ketampanan yang
sangat menakjubkan oleh ALLAH Taala? Hebat sangatkah kita, kaya sangatkah kita,
tampan sangatkah kita sehingga kita lupa untuk bersyukur kepada ALLAH Taala?
Nabi Sulaiman AS dan Nabi Yusuf AS berjaya membuktikan sekali pun mereka
dikurniakan nikmat yang melimpah ruah,ianya tidak melalaikan mereka daripada
bersyukur dan mengingati ALLAH. Hal ini kerana mereka meletakkan ALLAH sebagai
no.1 dalam kehidupan mereka, menjadikan nikmat-nikmat dunia ini kecil jika nak
dibandingkan syurga ALLAH. Cuba hitung nikmat kita dan di manakah tahap
kesyukuran kita kepada ALLAH? Apakah kita mengkufuri nikmat atau mensyukurinya?
Tepuk dada Tanya iman.
Setiap nikmat dan ujian yang kita rasai pasti akan
dihisab dan disoal oleh ALLAH Taala ketika kita dibangkitkan semula nanti. Maka
pasti ALLAH akan menampilkan contoh hamba-hambaNYA yang terbaik daripada segi
nikmat mahupun ujian, dan mereka berjaya mendekatkan diri kepadaNYA sebagai
bandingan kepada kita. Apakah saat itu kita akan bersedia untuk menghadapinya?





No comments:
Post a Comment