Saturday, 8 November 2014

SYUKUR: Tunduklah ke Bawah, Tolehlah ke Belakang,

Assalamualaikum WBT
Salam Ukhwah...

Apa khabar iman kita pada hari ini? Adakah bertambah atau berkurang iman kita pada hari ini? Semoga ALLAH menetapkan iman kita dan menjadikan terus memantapkan iman kita kepada NYA.




Kehidupan manusia ini adalah satu perjalanan menuju ke tempat yang sama, tujuan yang sama. Cuma jalan yang dilalui oleh setiap orang adalah berbeza. Kadang-kadang pelbagai mehnah dan ujian kehidupan datang melanda, sama ada daripada orang sekeliling kita, daripada tugas kita, daripada pelajaran kita bahkan daripada takdir kehidupan kita yang penuh misteri dan tiada yang lebih mengetahui melainkan Allah Yang Maha Mengetahui. Jiwa kita terasa kacau terganggu kerana kurang kekuatan, hendak menyalahkan takdir, risau terbatalnya iman, hendak berputus asa kehidupan tetap perlu diteruskan. Serba salah diri kita hendak menghadapi kehidupan ini.



Maka di sini datangnya erti SYUKUR. Kita adalah hamba yang diciptakan oleh ALLAH untuk beribadah kepadaNYA. Maka sudah menjadi lumrah, hamba tiada memiliki apa satu pun, hidupnya layak diuji, apa yang ada padanya layak diambil kembali oleh tuannya. Maka dalam konteks kita, ALLAH adalah tuan kita buat selama-lamanya. Apa yang ada pada kita hanyalah pinjaman semata-mata. Dia boleh mengambil kembali semua itu tanpa syarat mahupun notis awal. Apa yang berlaku dalam kehidupan juga adalah takdir dan peracangan yang telah ditentukan olehNYA. Boleh jadi DIA membiarkan kita terus terkapai-kapai dalam ujian kesusahan hidup, boleh jadi DIA membantu kita keluar dari ujian itu. Disebabkan ALLAH, semuanya mampu, semuanya boleh tanpa sebarang batasan. Maka kita sebagai hamba perlu sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada ALLAH tatkala senang mahupun susah, kerana kita sebagai muslim yakin bahawa ALLAH tidak akan sesekali menganiayai hambanya.



Bersyukur ini adalah satu konsep yang luas, dan antara perkara yang sering kita lupakan dalam perjalanan hidup kita. Kita hanya bersyukur, mengucap Alhamdulillah tatkala senang tetapi apabila sedikit saja kesenangan kita diambil ALLAH kembali, kita sudah gelabah, pening meracau-racau seperti hidup ini sudah sampai kepenghujungnya,gelap terasa dunia ini. Sesekali tidak, sebagai muslim syukur itu perlu sentiasa sebati dalam hati kita. Bukankah ALLAH pernah berfirman, bersyukurlah kepadaKU nescaya akanKU tambahkan lagi bagi kamu, Bukan KAMI meminta daripada kamu bahkan KAMIlah yang memberi rezeki kepada kamu. Rezeki dan Nikmat adalah sesuatu yang misteri,yang tidak dapat nak dijelaskan oleh akal. Ada orang rumah besar, harta banyak tetapi tiada kebahagian, ada orang sakit tiada henti tapi masih tersenyum. Tertanya-tanya kita apakah maknanya semua ini? Tiada lain itulah tanda-tanda kebesaran ALLAH dalam mengagihkan nikmat dan rezeki kepada hamba-hambaNYA.

Sebenarnya banyak cara untuk kita mengaplikasikan rasa syukur dalam diri kita. Antaranya adalah apabila berada di atas, tunduklah ke bawah, dan apabila berada di hadapan tolehlah ke belakang. Dengan erti kata lain, andainya kita ada sesuatu, lihat kepada orang yang tiada memiliki dan sentiasa berharap agar ALLAH memberikan nikmat yang ada pada kita kepadanya juga. Contoh, apabila kita ada makanan yang mampu kita beli, sekali pun murah, lihatlah kepada fakir miskin yang terpaksa meminta dan berlapar. Kita ada pakaian berkasut lengkap bertukar-tukar setiap hari, lihatlah kepada mereka yang sehelai sepinggang. Dengan cara ini, kita mengetuk pintu hati kita sendiri untuk bersyukur kepada ALLAH dengan nikmat yang kita ada. Tetapi perlu kita ingat syukur kita ini perlu juga disertai dengan usaha untuk membaiki diri kita agar lebih maju dunia mahupun akhirat.



Jika kita ambil masa sejenak, cuba renungkan, kenapa ALLAH jadikan aku begini? Kenapa aku dan bukan orang lain? Kenapa aku secara spesifiknya? Dan cuba kita lihat kenapa ada manusia yang turut berada dalam keadaan nikmat dan ujian yang sama dengan kita tetapi mereka mampu untuk tersenyum, bersyukur dan bergembira dengan takdir ALLAH? Sudah pasti ada hikmahnya ALLAH menjadikan sesuatu kepada kita. Mungkin kita tidak dapat melihat hikmah itu pada awalnya, namun insyaALLAH kita akan ketahui juga apabila tiba masanya nanti.

Renungan kita perlulah melibatkan akal fikiran kita, cuba bayangkan keadaan diri kita tatkala memiliki sesuatu nikmat dan tatkala tidak memilikinya. Contoh, bayangkan diri kita memiliki harta yang banyak sehingga bermewah-mewahan dan bayangkan pula tatkala diri kita hanyalah dalam keadaan sederhana, cukup makanlah senang kata. Apakah reaksi kita ketika itu? Adakah kita akan bertambah iman atau sebaliknya? Sudah menjadi lumrah manusia untuk menyukai kesenangan dan membenci kesusahan, kepayahan. Namun perlu kita ingat bahawa ALLAH Maha Mengetahui, boleh jadi benda yang kita suka dan harapkan itu memudharatkan kepada iman, rohani atau jasmani kita dan boleh jadi perkara-perkara yang kita cuba jauhi, yang kita sesali, yang kita tidak suka itu sangat-sangat bermanfaat kepada kita. Amat sikit ilmu yang ada pada kita jika nak dibandingkan dengan pengetahuan ALLAH. Ambillah iktibar daripada kisah Qarun, tatkala susah seorang yang baik, sesudah kaya kufur kepada Tuhannya. Berhati-hati dengan permintaan kita kepada ALLAH, timbang baik dulu adakah itu keperluan atau kehendak. Allah sahaja yang mengetahui isi hati kita.



Apabila kurang rasa syukur, kita akan mudah berputus asa, terasa kehidupan dan takdir tidak adil kepada kita,  terasa kecewa apabila doa tiada tertunai seolah-olah  ALLAH tidak mendengar permintaan kita. Jangan sesekali begitu, ALLAH mendengar cuma DIA menahan nikmat itu mungkin untuk memelihara iman kita, menyelamatkan kita daripada kekufuran.  Tidak salah dalam kehidupan mengejar cita-cita, untuk sentiasa mendongak ke atas, untuk sentiasa memandang ke hadapan, tetapi ambillah masa sejenak untuk tunduk ke bawah, toleh kebelakang agar kit bersyukur, dengan apa yang ada pada kita, agar kita lebih menghargai kehidupan kita. Sifat orang mukmin itu unik, tatkala senang dia bersyukur, tatkala dia susah dia bersyukur dan bersabar. Tidakkah kita mahu menjadi mukmin yang kuat?

Kesimpulannya, bersyukur itu akan mendekatkan kita kepada ALLAH dan mengingatkan kita bahawa ALLAH itu adil. Setiap perancangan dan takdir ALLAH ada hikmah ada kebaikan yang tersurat dan tersirat untuk kita. Percaya dan yakinlah ALLAH tidak akan mensia-siakan hambaNYA. Percayalah, jika ALLAH bawa kita kepada ujian itu, DIa akan mengeluarkan kita dari ujian itu. Kita sebagai hamba, perlu bersyukur, berusaha kerana ALLAH melihat apa yang kita lakukan. Berputus asa tidak sepatutnya wujud dalam kehidupan kita sebgai muslim. Kita kuat, kita tabah, kita hebat kerana kita ada ALLAH, Pemilik langit, bumi dan apa sahaja di antara keduanya.

Jangan lupa senyum...muka yang sentiasa tersenyum sentiasa nampak manis dan menyeronokkan.




Semoga ALLAH menjadikan kita hamba yang sentiasa bersyukur terhadap semua takdir dan ujianNYA. Semoga selepas setiap nikmat mahupun ujian iman kita semakin bertambah, semakin dekat kita kepada ALLAH. Ya ALLAH, jadikan kami daripada kalangan yang menghargai nikmat-nikmat dengan bersyukur kepadaMU, dan lindungi kami daripada meminta-minta kepadaMU sesuatu yang tiada kami ketahui. Lindungilah iman kami dan kuatkanlah kesabaran kami.


No comments:

Post a Comment