Friday, 31 October 2014

Menunggu SEMPURNA

Assalamualaikum WBT
Salam Ukhwah...

Apa khabar iman kita pada hari ini? Semoga ALLAH Taala meletakkan kita dalam kalangan orang yang senantiasa memelihara iman.

Sering kali kita mempunyai pemikiran biarlah sempurna dahulu baru berkhidmat atau berdakwah. Pemikiran sebegini sebenarnya memundurkan kita, malahkan menjadikan kita seorang muslim yang tidak produktif. Tunggu alim dululah baru berdakwah, tunggu kaya dululah baru membantu, tunggu masa lapang dululah baru itu baru ini. Kenapa tidak mulakan daripada sekarang? Perlukah kita menunggu sempurna



Tarbiyah adalah sesuatu yang berterusan dan dakwah perlu berjalan seiringan dengannya. Andainya menunggu sempurna tidak akan semurna kita sampai ke mati. Di dunia ini hanya ALLAH SWT yang sempurna, manusia cuba mengejar kesempurnaan tetapi tiada kesampaiaan. Manusia hanya mampu menjadi lebih baik daripada sebelumnya dengan izin ALLAH SWT. Tetapi, kita tidak menunggu kesempurnaan untuk berdakwah, kita buat sekadar yang kita mampu namun kita berusaha memperbaiki diri kita agar kita dapat meningkatkan kualiti dakwah kita.

Lihatlah kepada sirah, adakah Nabi Muhammad SAW menunggu Islam itu sempurna dulu baru hendak berdakwah? Adakah sahabat seperti Abu Bark RA menunggu kesempurnaan Islam baru hendak berdakwah? Sesekali tidak, malah di tangan Nabi SAW ramai yang memeluk Islam pada awal pengenalan Islam seperti Khadijah binti Khuwalid, Abu Bakr RA, Ali bin Abi Talib dan ramai lagi. Uthman bin Affan, Saad bin Abi Waqas, Abdur Rahman Auf dan lain-lain pula memeluk Islam melalui tangan Abu Bakr RA. Adakah mereka-mereka ini menunggu sempurna baru hendak berdakwah? Tidak, mereka mulakan dakwah dari awal dan sama-sama mereka mengajak orang lain memperbaiki diri ke a rah kesempurnaan atau dengan erti kata lain, berubah ke tahap yang lebih baik.

Dalam menuntut ilmu, apa yang kita dapat kita kongsikan sekadar kefahaman kita. Jangan kita kedekut, jangan kita takut. Ilmu semakin dikongsi semakin bertambah dan semakin kuat ia melekat di dalam diri kita. Andai diberi peluang atau ruang untuk berkongsi ilmu, ambillah dan manfaatkan dengan baik. Tidak perlu pandai untuk berkongsi ilmu cukuplah dengan usaha dan kerajinan untuk menuntut ilmu. Pepatah menyebut `USAHA` tangga kejayaan bukannya `PANDAI` tangga kejayaan. Ambil peluang, rebutlah peluang untuk berkongsi ilmu, andainya ilmu kita memanfaatkan orang lain, maka kita juga turut berkongsi kebaikan yang dia perolehi.

Begitu juga dalam soal memberi khidmat kepada masyarakat. Jangan kita menunggu kaya, menunggu senang baru hendak kita membantu orang yang memerlukan. Kekayaan dan kesenangan jika dikejar tiada pernah puas. Lepas satu, satu, dan akhirnya dijemput Ilahi tanpa sempat membelanjakannya ke jalanNYA. Mulakanlah dengan kecil-kecilan sekadar kemampuan kita kemudian sama-sama kita tingkatkan. Hari ini kita bantu seorang, esok kita usahakan untuk dua orang. Hari ini kita beri seringgit, esok kita usahakan dua ringgit. Perlahan-lahan yang penting istiqomah.  Bantuan kita beri sekadar mampu kerana kita juga mempunyai komitmen lain yang memerlukan masa, tenaga dan harta kita. Bukanlah dengan memberi bantuan kita mengabaikan tanggungjawab yang lain. Seimbangkanlah antara satu sama lain. Kalau mampu suruhlah kepada Jemaah, iaitu secara berkelompok. Dengan cara ini tidaklah kita terasa terbeban dan kita juga dapat memberi ruang kepada orang lain untuk melaksanakan kebaikan.



Sebenarnya, pada zaman sekarang banyak sangat ruang untuk berbuat kebaikan, yang tinggal sama ada kita mahu atau tidak sahaja untuk memanfaatkan ruang-ruang dan peluang-peluang itu. 



Jangan kita bersikap tercela; `dia tidak apalah, pandai, sebab itu boleh mengajar, dia tidak apalah kaya, sebab itu boleh membantu, dia tidak apalah, alim sebab itu boleh berdakwah`. Sampai bila kita hendak menunding orang??? Kita, apa yang kita dah buat? Sekurang-kurangnya mereka telah berkhidmat, kita bila lagi? Ambil inisiatif untuk bergerak daripada sekarang. Jangan tunggu orang jangan menunding orang. Semuanya bermula dengan diri kita. Kita yang menentukan diri kita. Dan andainya kita tidak mampu, janganlah menghalang orang lain membuat kebaikan. `Eleh, baru setahun jagung naik dakwah aku. Cis, hidup pun melarat ada hati nak menyumbang`. Sikap-sikap sebegini sebenarnya mematikan ruh-ruh keislaman. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai kesedaran untuk membuat kebaikan.
Kita yang `sempurna` ini bila lagi? Adakah kita masih tidak tahap lama atau kita telah berubah? Tepuk dada tanyalah iman.


Semoga ALLAH SWT memberi kekuatan kepada kita untuk membuat kebaikan sama ada tatkala senang mahu pun susah. DIA yang Maha PEMURAH lagi PENGASIHANI. Sama-samalah kita melakukan kebaikan, mungkin nampak kecil disisi manusia, tetapi di sisi ALLAH SWT, hanya DIA yang mengetahui.

`BERLUMBA-LUMBALAH MELAKUKAN KEBAIKAN` sekali pun ianya hanyalah sekdar SENYUMAN untuk diri sendiri.


Friday, 24 October 2014

HIJRAH: Perancangan, Pengorbanan dan Transformasi yang BERTERUSAN

Assalamualaikum WBT
Salam Ukhwah...

Apa khabar iman kita pada hari ini? Adakah bertambah atau berkurang iman kita pada hari ini? Semoga ALLAH menetapkan iman kita dan menjadikan terus memantapkan iman kita kepada NYA.



Salam MAAL HIJRAH 1436.

Sekarang ini amat jarang kita melihat orang berhijrah ke tempat lain untuk kehidupan yang lebih baik. Namun konsep hijrah itu telah dikembangkan lagi dewasa ini kepada penghijrahan diri, jiwa dan peribadi kita kepada yang lebih baik. Pada hari ini, ramai yang mengingati dan meraikan peristiwa hijrah, malah peristiwa agung itu berulang kali diceritakan tapi sayang seribu kali sayang, masih ramai yang tidak dapat menangkap mahupun menerapkan penghayatan dan pengajaran daripada peristiwa agung itu dalam kehidupan mereka. Hijrah sentiasa mengajak ke arah kebaikan terutamanya kebaikan hati, jiwa dalaman di samping mencegah kemungkaran, maka ketika itu perubahan luaran juga akan turut serta. Semuanya bermula daripada diri kita sendiri. 



Daripada peristiwa hijrah itu dapat kita simpulkan 3 perkara iaitu:

1)      Setiap sesuatu memerlukan PERANCANGAN untuk berubah dan PERSEDIAAN yang teliti.

Jika kita lihat kepada sirah, penghijrahan Rasulullah SAW dan Abu Bakr RA begitu terrancang. Bermula daripada sebelum hijrah, beberapa hari sebelum hijrah, ketika hijrah sehinggalah selamat sampai ke madinah. Semuanya dirancang dengan baik. Persediaan dari segi kenderaan, bekalan makanan dan juru pandu semuanya dirancang dengan baik. Kalau bukan dirancang dengan baik, nescaya gagal penghijrahan ini.

Maka sebagai seorang muslim, merancang kehidupan kita adalah satu kewajipan. Kita perlu meletakkan target-target yang mahu kita capai sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, pembangunan saksiah diri mahupun sumbangan kepada ummah. Hidup insan amatlah singkat tetapi bukan jumlah yang menjadi ukuran, qualiti masa yang kita gunakan dengan baik itu yang dilihat oleh ALLAH. Boleh jadi hidup kita sekadar 50 tahun sahaja tapi kita berjaya menjadi insan yang bermanfaat kepada agama dan masyarakat dan boleh jadi umur kita 100 tahun tapi sayang ianya penuh dengan perkara-perkara yang tiada faedah dan lagha kerana kegagalan untuk merancang kehidupan.

Dalam keadaan masa yang terasa bagaikan sesaat ini, perancangan kehidupan amatlah penting untuk kita menjadi muslim yang efektif, tiada masa yang terbuang sia-sia tanpa dimanfaatkan dengan betul. Pembangunan diri perlu dirancang dengan baik, kerjaya juga perlu dirancang, kewangan, rumah tangga dan lain-lain juga perlu dirancang dengan baik. Apabila jelas perancangan kita, lengkap persediaan kita, maka bertawakallah kepada ALLAH kerana sebagai muslim kita percaya bahawa kita merancang dan ALLAH juga merancang, maka sudah tentulah rancangan dan ketentuan ALLAH yang paling terbaik untuk kita.



2)      Untuk mendapat sesuatu yang baik, PENGORBANAN yang besar perlu dilakukan demi Islam.

Semasa perintah hijrah dikeluarkan, kita lihat sahabat-sahabat Rasulullah SAW berhijrah tanpa memikirkan pun harta-harta mereka, keluarga mereka, kemewahan yang ada di Mekah, semuanya ditinggalkan bagi menuruti arahan ALLAH dan RasulNYA untuk mencapai sesuatu yang lebih baik. Cuba bayangkan, kesenangan yang diusahakan selama ini ditinggalkan untuk sesuatu yang tidak jelas keadaannya…hanya berbekalkan keimanan kepada ALLAH dan Rasul sahaja.

Dalam kehidupan kita juga begitu, hendak berbuat baik, hendak berubah sangatlah susah dan memerlukan perngorbanan dan kesabaran yang tinggi. Contoh yang paling mudah yang acap kali berlaku, apabila sahabat kita cuba untuk berubah ke arah kebaikan, kita sering kali mengungkit kisah silamnya dengan pelbagai ejekan. Anggaplah ia sebagai ujian ALLAH kepada kita untuk menguji dan memantapkan iman kita. Kadang-kadang hendak berubah melakukan kebaikan, pelbagai kesempitan datang menimpa. Kebaikan itu sebenarnya bagus tetapi jalan yng perlu dilalui penuh dengan onak dan duri. Untuk mengajak orang dekat kepada ALLAH kita terpaksa meninggalkan kemewahan kita, anak bini kita serta keluar berada dalam kesusahan semuanya agar insan lain dekat kepada ALLAH.
Contohnya, kita dihantar berdakwah dan berkhidmat di Sabah meninggalkan isteri, anak dan rumah yang selesa untuk berada dalam hutan entah apa yang ada hanya tuhan saja yang tahu tapi pengorbanan ini demi ummah agar islam berkembang pesat. Ini baru dalam konteks berkhidmat kepada masyarakat. Kalau berkaitan pembangunan diri pula, demi meningkatkan iman,menjadi baik kerana ALLAH, kita terpaksa tinggal katil yang empuk dan mimpi yang indah untuk berqiyamullail, berwudhuk dan berdiri dalam kedinginan dan kegelapan malam dan macam-macam lagi. Semuanya adalah pengorbanan yang perlu demi mendapat sesuatu yang lebih baik. Bak kata orang puteh: NO PAIN NO GAIN



3)      Penghijrahan diri PERLULAH SECARA BERTERUSAN ke arah kebaikan sekali pun perlahan atau sedikit.

Setelah Nabi SAW dan para sahabat berhijrah, Islam menjadi semakin berkembang pesat bahkan hebat sehinggakan menguasai 2/3 dunia. Sekali pun ketika di madinah mereka susah tapi mereka berjaya, mereka berusaha sendiri dan tiada mereka berundur kembali ke zaman jahiliyah dalam proses penghijrahan itu sekali pun ada di antara mereka yang sehelai sepinggan. Semuanya adalah hasil didikan Rasulullah dalam membentuk peribadi dan iman yang jitu dalam diri mereka.

Sebagai individu Islam, menjadi kewajipan kepada kita untuk cemerlang dari segi ilmu, akhlak dan khidmat kepada masyarakat dan ummah.  Menuntut ilmu adalah sepanjang hayat, sebagai muslim andainya kita mampu maka berusaha ke tahap yang tertinggi. Pastikan juga pembentukan peribadi rohani dan akhlak seiring dengan taraf ilmu kita. Dan setelah ada serba sedikit, sumbanglah dan manfaatkan diri kita kepada masyarakat.



Andainya salah satu tidak lengkap, kurangnya kualiti kita sebagai muslim. Ilmu tinggi tahap PhD tapi bangun matahari terpacak tinggi, harta membukit tinggi sumbangan tiada diberi kepada masyarakat. Ingat, muslim yang paling baik adalah dia ajak kepada dan bercakap tentang kebaikan, mencegah mungkar dan dia buktikan dengan amalan.

Berhijrah secara perlahan dan istiqomahlah. Biar sekali pun perubahan baik itu kecil seperti senyum kepada kawan-kawan kita, kita teruskan dan perlahan-lahan kita tambah sedikit-demi sedikit. Muslim yang hebat tidak dilahirkan dalam tempoh semalam tetapi adalah hasil daripada tarbiyah dan didikan hati, rohani dan jasmani yang panjang dan berkekalan Jangan kita sekejap baik, sekejap buruk. Memang iman manusia itu turun dan naik tetapi berusahalah untuk mencegah yang mungkar selagi mampu dan andainya terlanjur, kembalilah kepada ALLAH dengan segera. Apabila kita berhijrah, ingatlah, kita bukan berhijrah untuk mencari makan, sebab lembu pun makan, tetapi hijrah kita ini agar kita lebih bersedia dan rela untuk bekerja untuk Islam. Dengan erti kata lain, kita berhijrah mengubah diri kita ke arah yang lebih  baik agar kita sentiasa bersedia untuk bekerja demi Islam.

Jadi, secara kesimpulannya, apakah kita masih belum tergerak untuk berhijrah kea rah kebaikan? Menyiapkan diri kita untuk berkhidmat kepada masyarakat dan Islam? 



Bukan mudah, bukan sekejap tetapi ianya tiada mustahil. Perlu kita berbangga dengan Islam kerana Islam menyediakan segala-galanya sebagai medium untuk umatnya bersedia menyumbang kembali kepadanya. Kita perlu ada kesedaran bahawa sekarang bukan lagi zaman untuk kita rileks, seronok-seronok, sekarang kita perlu bersedia dan kita perlu lakukannya dengan pantas. Cukuplah kita meminta untuk dilayan, sudah tiba masanya untuk kita melayan...

Semoga ALLAH memudahkan jalan kita untuk menjadi muslim yang baik. Biarlah kita tetap ke arah kebaikan sekalipun seringkali dilanda ujian dan mehnah yang tiada henti. Percayalah, apabila terdetik dalam hati kita untuk berubah menjadi baik, ingatlah ketika itu ALLAH berkehendak agar kita kembali kepadaNYA.




~IntiPati diolah  daripada Ceramah Maal HIjrah 1436H~

Saturday, 18 October 2014

Dekatlah Pada Aku

Assalamualaikum WBT...
Salam Ukhwah...

Apa khabar iman kita pada hari ini? Semoga dalam keadaan baik hendaknya...

Kadang-kadang dalam kehidupan, sering kita tertanya-tanya, kenapa ALLAH Taala jadikan ujian kepada hamba-hambanya? Ada orang diuji tanpa henti. Perlu kita ingat bahawa ujian datang dalam pelbagai bentuk dan ragam. Ada ujian berbentuk kesakitan, kematian dan bala manakala ada juga ujian berbentuk kemewahan dan kesenangan. Namun, kebanyakan ujian ALLAH Taala selalunya berbentuk kesusahan bencana, sesuatu yang manusia tidak inginkan dalam kehidupan mereka di dunia ini...



Ujian ALLAH jadikan kepada hambaNYA sebagai ingatan untuk hamba-hambanya kembali mendekatikan diri kepada DIA, Pencipta langit dan bumi. Kadang-kadang ujian itu adalah gegaran untuk kita yang alpa dihanyut keseronokan dunia. ALLAH Taala bukanlah kejam. Setiap perkara yang berlaku kepada diri kita akan ada timpal baliknya yang sangat adil. 

Manusia akan lebih mengingati ALLAH Taala ketika susah dan sakit berbanding senang dan sihat. Kadang-kadang, apabila tiada mewah hidup kita ketika itulah kita akan berdoa tiada henti memohon kekayaan. apabila kia sakit, ketika itulah baru kita teringat untuk berzikir dan beristigfar kepada ALLAH memohon agar kesihatan dapat dikembalikan seperti asal. Bahkan kita menaburkan janji-janji seperti andainya kita kaya, kita akan tolong ramai orang, andainya kita sihat kita akan lebih kuat beribadat. Namun insan alpa, apabila nikmat dikurniakan , janji-janji tadi hanyalah omongan kosong sahaja.
Sekali pun kita menipu, rahmat ALLAH sangatlah besar, tiada henti DIA memberi ruang untuk kita kembali sedar dan mendekatkan diri kepadaNYA.



Namun begitu, adakala, ujian yang menimpa kita tiada henti, sekejap sakit, sekejap kena bala, sekejap ada kematian. Hidup seolah-olah tiada tuhan. Perlu kita ingat, ALLAH itu tidak sesekali zalim kepada hamba-hambanya. Ujian yang diberikan pasti ada balasan yang lebih baik dan sesuai dengan keupayaan diri kita. Ujian yang diberikan itu adalah sebagai ingatan agar kita kembali mendekati ALLAH dengan segera. Malah, tatkala ditimpa ujianlah manusia lebih ikhlas dan lebih bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Ilahi demi mendapat keredaan dan rahmatNYA.

Kadang-kadang sesudah puas berdoa, sudah puas berzikir, ujian tiada juga terangkat, miskin tiada kaya, sakit tiada sihat susah tiada senang. Kenapa ya? Apakah ALLAH tidak mendengar permintaan kita? Bukankah ALLAH pernah berfirman mintalah kepadaNYA nescaya DIA tunaikan?.Di mana ALLAH ketika ini, ketika doa dan hajat tiada berjawab? Jawapannya ALLAH itu ada dan tidaklah DIA meninggalkan kita. Kita sebagai mukmin perlu yakin bahawa ALLAH itu menunaikan permintaan kita tetapi DIA mengurniakan apa yang kita perlukan, bukannya apa yang kita hajati. AturanNYA lagi baik bahkan penuh hikmah.

Kadang-kadang hajat atau permintaan kita bukannya tidak dimakbul, akan tetapi ALLAH taala tahan daripada memberi kerana mungkin dengan nikmat itu kita akan semakin jauh daripada ALLAH taala. Sebagai contoh lihatlah kisah Qarun, ketika susah beliau merupakan seorang yang baik tetapi setelah ALLAH kurniakan harta kekayaan dia menjadi orang yang kufur kepada Penciptanya. Memang kita mampu berkata: Kalaulah aku kaya....Andainya aku sihat...tapi siapa kita untuk mempersoalkan ketentuan Ilahi. Beranikah kita memberi jaminan bahawa selepas kita kaya, selepas kita sihat, kita akan semakin dekat dengan ALLAH taala..??? Allah sahaja yang tahu keadaan dan masa depan kita.

Oleh itu, tatkalau kita ditimpa ujian, ambillah saat itu sebagai rahmat dan ingatan dari ALLAH untuk kita dekatkan diri kita kepada ALLAH. Bukan semua orang mendapat kesempatan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH kerana hanyut lemas dalam penipuan nikmat-nikmat dunia yang ibarat bayangan bulan di permukaan air, cantik dipandang tapi tiada capai kepenghujungnya. Ujian yang kita lalui yakinlah dan berprasangka baiklah bahawa ALLAH akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik seperti peningkatan iman, peribadi yang baik dan mungkin nikmat kepada orang-orang tersayang sekeliling kata. Kadang-kadang doa dijawab dengan pelbagai cara, kita meminta duit, ALLAH kurniakan kesihatan. Semuanya ada hikmah.



Maka itu, sama-samalah kita ingatkan diri kita untuk dekatkan diri kepada ALLAH kerana ALLAHlah satu-satunya tempat bergantung kita tatkala saat senang apatah lagi saat susah. Semoga kita menjadi orang yang mendapat peluang untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan sentiasa berprasangka baik kepada aturan yang tetap ditetapkan olehNYA.



Belajarlah untuk bersyukur dalam apa jua keadaan kerana mukmin tatkala senang dia bersederhana tatkala susah dia mengucapkan alhamdulillah...




Monday, 13 October 2014

Hanya DIA yang MEMAHAMI, Hanya DIA yang sentiasa MENGERTI

Assalamualaikum WBT
Salam Ukhwah...

Apa khabar iman kita pada hari ini? Adakah bertambah atau berkurang iman kita pada hari ini? Semoga ALLAH menetapkan iman kita dan menjadikan terus memantapkan iman kita kepada NYA.

Dalam kehidupan kita kadang-kadang kita diuji dengan ujian yang datang dalam pelbagai bentuk. Kadang-kadang tiada putus ujian, satu demi satu, terasa hidup seolah-olah ditakdirkan bernasib malang.

Hendak berbuat baik, dikata menunjuk. Pelbagai kebaikan dibuat tiada dihargai. Cuba untuk bermesra responnya kaku sahaja. Kalau tersilap sikit, bukannya ditegur bahkan dicaci dan dimaki lagi. Terasa diri ini seperti asing dalam dunia yang tiada seorang pun benar-benar memahami kita.



Kadang-kadang harapkan ibubapa, ibubapa juga mengecewakan. Kadang-kadang harapkan keluarga, keluarga pula menghampakan. Kadang-kadang mengharapkan kawan, tapi kawan pula pergi meninggalkan. Diri ini seolah-olah asing berseorangan menghadapi saat-saat getir ujian Ilahi. Bukanlah ibubapa,keluarga dan rakan itu jahat, tetapi terpaksa kita telan kenyataan yang pahit bahawa mereka juga insan yang lemah, tidak lari dari kesilapan, tidak lari dari mengecewakan.

 Adakala terdetik di dalam hati kita untuk berputus asa dengan kehidupan. Yalah, terasa hidup di dunia seperti tidak bertuhan, andainya TUHAN itu ada kenapa DIA tidak menolong aku??? Lemahnya kita, makhluk bergelar insan.

Namun sebagai mukmin, saat tatkala semua insan sekeliling kita mengecewakan kita, ketahuilah ALLAH itu ada dan dekat dengan kita. ALLAH yang menciptakan kita dan DIAlah paling memahami kita. Ujian yang diberikan kepada perlu kita terima dengan positif. Ingat ALLAH bukannya kejam, setiap yang diuji, setiap yang diberi pasti akan ada timpal balasnya. ALLAH sentiasa memahami kita, DIA sentiasa mengerti keadaan kita. DIA sayangkan kita dan ingin mendengar rintihan kita kepadaNYA. Insan akan lebih ikhlas berdoa kepada tuhannya tatkala dia berada dalam kesempitan dan kesusahan.





Sekali-kali tidak akan ALLAH menganiayai kita. Ujian yang diberikan itu sudah diukur dengan kemampuan kita untuk mengharunginya. Mendekati diri kita dengan ALLAH akan menjadikan kuat dan tabah kerana kita percaya pertolongan ALLAH itu dekat, andainya bukan di dunia ini, insyaALLAH di akhirat kelak. 

Saat kita rebah melutut, ambillah Quran, lihatlah janji-janji ALLAH kepada mereka yang bersabar. Bukankah janji-janji ALLAH itu pasti? Yakinkah kita dengan ALLAH?. Maka bangunlah menghadapi ujian dengan ketabahan dan kegigihan serta doa.

ALLAH itu ada, ALLAH itu wujud. Ketika dugaan hebat, DIA tetap ada, ketika senang pun DIA tetap ada. DIA melihat, mendengar semuanya. Maka saat-saat sukar kita, hampirkanlah diri kepada ALLAH kerana DIA, ALLAH suka mendengar rintihan hamba-hambaNYA yang ikhlas memohon pertolonganNYA.



Apabila jelas bahawa dalam dunia tiada yang lebih penting melainkan ALLAH, maka tiada kita kisah dengan manusia sekeliling kita. TIada dapat mereka memudharatkan kita, tiada mereka bermanfaat kepada kita tanpa izin Pemilik kerajaan langit. Setidaknya, mental dan rohani kita berasa tenang dengan mengingati ALLAH, tiada stress, tiada tekanan...hidup di dunia ini terasa sekejap sahaja.

Semoga kita menjadi hamba ALLAH yang yakin akan janji-janji ALLAH dan tetap bersabar, teguh dan bertawakal menghadapi ujian sama ada dalam bentuk kesusahan mahu pun kesenangan. Hampirkanlah diri kepada ALLAH, semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang dekat dengan NYA

Sunday, 12 October 2014

Lompong Yang Tiada Berisi

Assalamualaikum WBT
Salam Ukhwah...

Apa khabar iman kita pada hari ini? Semoga ALLAH Taala meletakkan kita dalam kalangan orang yang senantiasa memelihara iman.

Apa sebenarnya yang kita inginkan dalam kehidupan kita? Pernahkah duduk sejenak memikirkan mengenai hal ini?

Ya, mungkin ramai yang bercakap tentang memiliki harta yang banyak, rumah yang mewah, kereta yang besar, isteri yang cantik dan macam-macam lagi...tapi apa sebenarnya yang kita cuba capai melalui semua ini?

Dalam hidup kita, adanya satu lompongan hati yang kita kadang-kadang tidak tahu bagaimana hendak mengisinya dan kita tidak pasti apa patut kita isi di dalamnya. Kita kelihatan seolah-olah terkejar-kejar mendapatkan segalanya untuk mengisi kekosongan ini...tiada kita berhenti dan tidak pula kita pasti dengan tindakan kita...
Yang pasti, lompongan itu masih tiada berisi...




Apa yang kita kejar seolah-olah tidak mampu mengisi lompongan ini. Ada rumah yang besar mewah, tapi kita dihimpit perasaan SEPI!

Apa lagi yang akan kita cari selepas ini?

Kereta besar dan mewah, tapi kita dihantui perasaan SUNYI!

Apa lagi yang hendak dicari selepas ini?

Pasangan yang baik, selepas beberapa waktu melalui mehnah dan turun naik kehidupan, terasa kita seolah-olah berdiri bersendirian...

Apa lagi selepas ini? Apa lagi yang hendak dicari? Selepas satu demi satu kejayaan, kita tetap berasa kosong...sedangkan lompongan kehidupan ini haus dahaga mahu diisi... Hati menjadi tiada tenteram, tidur tiada lena, makan tiada kenyang, kehidupan seolah-olah celaru di hadapan...

Hidup ini seolah-olah tiada bermatlamat, Kosong tanpa arah tujuan. Semuanya tiada kena...

Apa yang kita mahu sebenarnya? Jawapannya mudah iaitu KEBAHAGIAAN. Andainya tiada puas kita mengejar dunia, maka ketahui kita masih lagi menemui erti KEBAHAGIAAN YANG HAKIKI.

Dan tiada lain kebahagiaan hakiki hanya dapat dikecapi apabila ALLAH menjadi tujuan utama kita. Ibadah menjadi manis, ujian menjadi madu apabila ALLAH memberi sakinah di dalam hati kita. 


Melakukan kebaikan menjadi keseronokan mengundangkan kebahagiaan manakala maksiat dan keburukan pula mengundang kemurungan dalam kehidupan. Kita menjadi tiada jemu melakaukan kebaikan, kerana kita bahagia dan percaya bahawa kebaikan yang kita lakukan bukanlah untuk manusia tetapi demi ALLAH yang mencampakkan kebahagiaan dalam hati sesiapa yang dikhendakiNYA.
Sama-samalah kita tingkatan amal kebaikan untuk mendekatkan diri kita kepada ALLAH dan ketahuilah bahawa setiap perkara yang baik dalam kehidupan seorang mukmin jika diniatkan kerana ALLAH adalah ibadah termasuklah tidur. Semuanya bermatlamatkan ALLAH. Dan di sini lompongan tadi dapat diisi dan ALLAH-lah jawapannya.

Sama-samalah kita berdoa agar ALLAH memberikan kita kebahagian hakiki dan menjadikan kita hamba yang tiada jemu melakukan kebaikan demi mencapai reda-NYA.

(diedit dari BUKU MOTIVASI)