Salam Ukhwah...
Apa khabar iman kita pada hari ini? Semoga dalam keadaan baik hendaknya...
Kadang-kadang dalam kehidupan, sering kita tertanya-tanya, kenapa ALLAH Taala jadikan ujian kepada hamba-hambanya? Ada orang diuji tanpa henti. Perlu kita ingat bahawa ujian datang dalam pelbagai bentuk dan ragam. Ada ujian berbentuk kesakitan, kematian dan bala manakala ada juga ujian berbentuk kemewahan dan kesenangan. Namun, kebanyakan ujian ALLAH Taala selalunya berbentuk kesusahan bencana, sesuatu yang manusia tidak inginkan dalam kehidupan mereka di dunia ini...
Ujian ALLAH jadikan kepada hambaNYA sebagai ingatan untuk hamba-hambanya kembali mendekatikan diri kepada DIA, Pencipta langit dan bumi. Kadang-kadang ujian itu adalah gegaran untuk kita yang alpa dihanyut keseronokan dunia. ALLAH Taala bukanlah kejam. Setiap perkara yang berlaku kepada diri kita akan ada timpal baliknya yang sangat adil.
Manusia akan lebih mengingati ALLAH Taala ketika susah dan sakit berbanding senang dan sihat. Kadang-kadang, apabila tiada mewah hidup kita ketika itulah kita akan berdoa tiada henti memohon kekayaan. apabila kia sakit, ketika itulah baru kita teringat untuk berzikir dan beristigfar kepada ALLAH memohon agar kesihatan dapat dikembalikan seperti asal. Bahkan kita menaburkan janji-janji seperti andainya kita kaya, kita akan tolong ramai orang, andainya kita sihat kita akan lebih kuat beribadat. Namun insan alpa, apabila nikmat dikurniakan , janji-janji tadi hanyalah omongan kosong sahaja.
Sekali pun kita menipu, rahmat ALLAH sangatlah besar, tiada henti DIA memberi ruang untuk kita kembali sedar dan mendekatkan diri kepadaNYA.
Namun begitu, adakala, ujian yang menimpa kita tiada henti, sekejap sakit, sekejap kena bala, sekejap ada kematian. Hidup seolah-olah tiada tuhan. Perlu kita ingat, ALLAH itu tidak sesekali zalim kepada hamba-hambanya. Ujian yang diberikan pasti ada balasan yang lebih baik dan sesuai dengan keupayaan diri kita. Ujian yang diberikan itu adalah sebagai ingatan agar kita kembali mendekati ALLAH dengan segera. Malah, tatkala ditimpa ujianlah manusia lebih ikhlas dan lebih bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Ilahi demi mendapat keredaan dan rahmatNYA.
Kadang-kadang sesudah puas berdoa, sudah puas berzikir, ujian tiada juga terangkat, miskin tiada kaya, sakit tiada sihat susah tiada senang. Kenapa ya? Apakah ALLAH tidak mendengar permintaan kita? Bukankah ALLAH pernah berfirman mintalah kepadaNYA nescaya DIA tunaikan?.Di mana ALLAH ketika ini, ketika doa dan hajat tiada berjawab? Jawapannya ALLAH itu ada dan tidaklah DIA meninggalkan kita. Kita sebagai mukmin perlu yakin bahawa ALLAH itu menunaikan permintaan kita tetapi DIA mengurniakan apa yang kita perlukan, bukannya apa yang kita hajati. AturanNYA lagi baik bahkan penuh hikmah.
Kadang-kadang hajat atau permintaan kita bukannya tidak dimakbul, akan tetapi ALLAH taala tahan daripada memberi kerana mungkin dengan nikmat itu kita akan semakin jauh daripada ALLAH taala. Sebagai contoh lihatlah kisah Qarun, ketika susah beliau merupakan seorang yang baik tetapi setelah ALLAH kurniakan harta kekayaan dia menjadi orang yang kufur kepada Penciptanya. Memang kita mampu berkata: Kalaulah aku kaya....Andainya aku sihat...tapi siapa kita untuk mempersoalkan ketentuan Ilahi. Beranikah kita memberi jaminan bahawa selepas kita kaya, selepas kita sihat, kita akan semakin dekat dengan ALLAH taala..??? Allah sahaja yang tahu keadaan dan masa depan kita.
Oleh itu, tatkalau kita ditimpa ujian, ambillah saat itu sebagai rahmat dan ingatan dari ALLAH untuk kita dekatkan diri kita kepada ALLAH. Bukan semua orang mendapat kesempatan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH kerana hanyut lemas dalam penipuan nikmat-nikmat dunia yang ibarat bayangan bulan di permukaan air, cantik dipandang tapi tiada capai kepenghujungnya. Ujian yang kita lalui yakinlah dan berprasangka baiklah bahawa ALLAH akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik seperti peningkatan iman, peribadi yang baik dan mungkin nikmat kepada orang-orang tersayang sekeliling kata. Kadang-kadang doa dijawab dengan pelbagai cara, kita meminta duit, ALLAH kurniakan kesihatan. Semuanya ada hikmah.
Maka itu, sama-samalah kita ingatkan diri kita untuk dekatkan diri kepada ALLAH kerana ALLAHlah satu-satunya tempat bergantung kita tatkala saat senang apatah lagi saat susah. Semoga kita menjadi orang yang mendapat peluang untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan sentiasa berprasangka baik kepada aturan yang tetap ditetapkan olehNYA.
Belajarlah untuk bersyukur dalam apa jua keadaan kerana mukmin tatkala senang dia bersederhana tatkala susah dia mengucapkan alhamdulillah...




No comments:
Post a Comment