Assalamualaikum WBT...
Salam Ukhwah...
Apa khabar iman kita pada hari ini? Semoga dalam keadaan
baik hendaknya...
Sebagai manusia kehidupan kita tidak lari dairpada
ditimpa pelbagai ujian. Ada yang berbentuk kesakitan, ada yang berbentuk bala dan
ada yang berbentuk fitnah seperti kesenangan dan harta. Ianya memang lumrah
kehidupan kita sebagai hamba yang sememangnya layak diuji oleh Yang Maha Kuasa.
Maka tatkala menghadapi liku-liku ujian ini adakala setelah kita berusaha atau
memberi yang terbaik, tetap kita juga terasa lemah, memerlukan kekuatan yang
baru untuk membantu, mendorong kita menghadapi ujian-ujian yang datang. Maka,
perlulah kita ketahui bahawa tiada cara lain kecuali dengan MEMINTA-MINTA dan
MERAYU-RAYU tetapi bukan kepada manusia, sebaliknya kepada Yang Maha Esa.
Meminta-minta dan merayu-rayu atau dengan erti kata lain
BERDOA adalah satu bentuk penyerahan, pengabdian diri kita sebagai muslim
kepada ALLAH Taala. Adakalanya kita tahu bahawa ujian yang yang kita hadapi ini
adalah dengan izin dan kehendakNYA. Sudah pasti jika ALLAH membawa kita kepada
ujian, DIA juga akan mengeluarkan kita dari ujian itu dengan jayanya. Namun,
sudah menjadi sifat manusia, kita hamba yang lemah, adakalanya ujian itu
memerlukan kekuatan rohani, ketabahan dan kesabaran yang tinggi dan tiada yang
dapat memberikan semua itu melainkan ALLAH SWT.
Maka doa menjadi kekuatan yang sangat unik kepada muslim.
Ianya adalah talian hayat yang paling pantas antara seorang hamba kepada
tuannya, setiap masa, setiap ketika tanpa sebarang cas. Doa adalah simbol atau lambang
pengabdian yng hakiki. Kita sebagai hamba pula, perlu bersungguh dalam berdoa
disamping kita mencari ikhtiyar untuk menghadapi liku-liku ujian. Doa
menjadikan hati kita tenang, pemikiran lapang dan jiwa kita pasrah setelah
hajat kita didengari oleh yang Maha Kuasa. Jawapan daripada ALLAH mungkin serta
merta, sebulan lagi, setahun lagi atau di akhirat nanti. Yang pasti kita
sebagai hamba yakin bahawa bantuan ALLAH itu dekat, ALLAH itu mendengar dan DIA
akan menyampaikan bantuan untuk apa yang kita perlukan sama ada dalam bentuk
material, pembangunan rohani atau peningkatan iman. Pertolongan ALLAH boleh
juga datang daripada orang-orang sekeliling kita yang bertindak sebagai
wasilah.
Yang pasti bantuan ALLAH itu pasti. Dan ALLAH
bersama-sama dengan prasangka hambanya, andai prasangka kita baik, maka baiklah
jadinya. Kita sebagai hamba perlu melihat liku-liku kehidupan dan ujian yang
datang sebagai peluang untuk membaiki diri kita, mendekatkan diri kepada ALLAH.
Dan ketahuilah bahawa apabila ujian itu ditimpakan kepada kita, sebenarnya
ALLAH ingin mendengar rintihan dan mendengar kita meminta-minta kepadaNYA.
Siapakah yang lebih baik lagi untuk kita meminta melainkan ALLAH yang menguasai
langit dan bumi dan apa yang di antara keduanya. Tidaklah ALLAH itu kejam
kepada hamba-hambanya dan ujian yang diberikan adalah berdasarkan kemampuan
iman kita, dan andainya ujian itu terlalu kuat untuk kita, hamba yang lemah,
bukankah ALLAH itu ada? Bukankah ALLAH itu tuan kita? Bukankah ALLAH itu Maha
Mendengar? Maka berdoalah meminta bantuanNYA dan jangan kita sombong atau malas
untuk berdoa. Yang pasti kita perlu yakin dengan penuh keimanan kepada ALLAH
SWT bahawa DIA mendengar rintihan dan rayuan kita.
Jadi secara kesimpulannya, doa adalah sesuatu yang tidak
dapat dipisahkan daripada kehidupan kita sebagai muslim. Maka pintalah,
merayulah sepuas-puasnya kepada Pemilik segala yang di bumi dan di langit dan
di antara keduanya. ALLAH SWT sangat suka mendengar suara hamba-hambaNYA yang
ikhlas berdoa dan merintih meminta-minta kepadaNYA. Janganlah kita sombong
untuk berdoa kepada ALLAH, siapalah kita dihadapan Yang Maha Kuasa? Hanya
seorang hamba yang hina penuh dengan kotoran dosa. Doa adalah cara paling mudah
untuk kita meminta apa-apa sahaja daripada ALLAH, ia dapat dilakukan pada
bila-bila masa dan di mana sahaja. Itulah yang paling mudah. Tapi sayang seribu
kali sayang, ramai di antara kita hanya berdoa tatkala terlintas dalam ingatan
kita sahaja, tatkala ditimpa kesusahan, tanyalah iman kita di mana kedudukan
kita di sisi ALLAH? Bagaimana ALLAH hendak memberi apabila DIA jarang-jarang
sekali mendengar rintihan kita?
Semoga ALLAH memberi kita kekuatan untuk berdoa kepadaNYA
di samping kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menghadapi ujian . Semua ini
demi mendekatkan diri kepada ALLAH Taala.
Ya ALLAH, jadikan kami daripada kalangan yang tiada
kedekut atau malas memohon doa, meminta-minta dan merayu-rayu kepada MU. Dan
jangan engkau biarkan kami meminta, merayu kepada manusia. Bantulah kami
menghadapi ujian MU semoga dengan rahmatMU, kami berjaya menjadi muslim yang
ENGKAU redai.





No comments:
Post a Comment